Tuesday, August 28, 2012

ujian datang lagi...

Jika engkau merasa sedih, pandanglah ke langit tinggi. Senyum dan yakini Allah pasti ada di sisi..
Jika engkau merasa sunyi, hayati alam semulajadi, dengarkan desiran air sungai yang mengalir dan kicauan unggas yang berterbangan. Kau pasti akan terhibur dengan irama semulajadi ciptaan Ilahi..
Sungguh, tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia..
Dia mentadbir dan merencana apa adanya dengan bersebab..
Cuma satu yang perlu kau ingat – Allah sentiasa bersamamu selagi mana kau ingat pada-Nya.
“Maka, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku.”
(Al-Baqarah: 152)

Fitrahnya, setiap yang diuji dengan kesusahan pasti dihujungnya ada keindahan. Semakin ujian itu berat, maka semakin jualah keindahan yang berada di hujung jalan kehidupan itu lebih membahagiakan. Namun hanya merasa bahagia apabila ujian itu dihadapi dengan tenang dan optimis.

Hadapilah ujian itu dengan senyuman dan segunung harapan. Senyum tanda syukur dan berharap hanya pada Allah SWT semata. Semoga Allah SWT memberikan keringanan untuk menghadapi ujian dengan ditambahkan kekuatan iman dan taqwa. Semoga dengan 'berat'nya iman dapat menghilangkan rasa peritnya ujian.

Apapun keadaan, apabila ujian menjenguk kita hadapilah dengan tenang. Sentiasa bersangka baik dan bersyukur kerana Allah SWT sentiasa memberi suntikan sebagai tanda ingatan kepada kita agar tidak terus leka kealpaan. Adakalanya Allah SWT hadirkan ujian dan kesusahan dalam hidup kita itu tanda Allah rindu untuk mendengar bicara kita. Maka berdoalah kerana Dia Maha Mendengar!